Aktiviti kokurikulum adalah sebahagian daripada kurikulum sekolah, dan setiap murid harus melibatkan diri. Aktiviti ini boleh dijalankan di dalam dan di luar bilik darjah, mengikut kesesuaian sesuatu aktiviti. Dengan andaian bahawa murid-murid tidak mendapat pengalaman tertentu di bilik darjah, maka aktiviti kokurikulum dapat menyediakan pelbagai pengetahuan dan pengalaman untuk perkembangan mental, minat, bakat, jasmani, rohani dan pembentukan nilai-nilai estetika serta sosial yang positif.

Sebagai satu bidang pendidikan, penglibatan semua murid dan anggota masyarakat adalah perlu, berasaskan kepada anggapan bahawa;

Semua murid harus mempunyai keseimbangan antara perkembangan mental (akademik) dengan perkembangan sahsiah yang bersepadu (sosial, jasmani dan rohani);

Semua murid mempunyai minat dan bakat yang boleh dikembangkan;

Semua murid boleh dididik, dan boleh pula mendidik diri sendiri dan rakan sebaya;

Sekolah bertanggungjawab melahirkan murid-murid untuk keperluan masyarakat dan negara;

Masyarakat turut bertanggungjawab memainkan peranan mendidik murid-murid.

Matlamat utama aktiviti kokurikulum adalah untuk merealisasikan Falsafah Pendidikan Negara. Antara matlamat yang hendak dicapai ialah seperti:

Menyemai kesedaran murid-murid terhadap agama dan kepercayaan kepada Tuhan;

Menyeimbangkan antara perkembangan mental dengan perkembangan rohani, jasmani dan emosi muridmurid;

Mengukuhkan perhubungan dan pergaulan di kalangan murid dalam sekolah dan di antara sekolah;

Membina dan meningkatkan minat dan bakat murid-murid

dalam aktiviti yang diceburi;

Membina dan meningkatkan disiplin murid;

Mewujudkan budaya sekolah yang menarik dan menggembirakan;

Membina dan meningkatkan kerjasama dan sumbangan hubungan dua hala antara sekolah dan masyarakat;

Mewujudkan sekolah berwatak.


En. Zamri B. Daud (Penolong Kanan Kokurikulum)